SEJAUH MANA KEBERKESANAN SISTEM PEMBELAJARAN ATAS TALIAN (E-LEARNING) DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA
Isu sistem pembelajaran atas talian atau e-pembelajaran sudah lama diperkatakan sejak pada awal pelaksanaannya sehingga sekarang. E-pembelajaran mula diperkenalkan seiring dengan perkembangan ICT di negara kita. Ia merupakan satu inisiatif untuk memantapkan lagi sistem pendidikan negara dalam menghadapi cabaran alaf ke-21. Menurut Jaya Kumar, e-pembelajaran adalah sebarang pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan rangkaian elektronik (LAN, WAN atau internet) untuk penyampaian isi kandungan, interaksi atau pemudahcaraan. Penggunaan e-pembelajaran dalam sistem pendidikan bukan untuk mengambil alih tugas guru tetapi bertujuan untuk memudahkan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi.
Namun, sejauh mana keberkesanan sistem pembelajaran ini dalam memperbaiki sistem pendidikan di negara kita?
Sebagaimana yang kita sedia maklum, e-pembelajaran merupakan sistem pendidikan moden yang sememangnya amat berbeza berbanding sistem pendidikan tradisional. Menerusi pembelajaran atas talian, pelajar hanya perlu menghadap komputer untuk mendapatkan nota, belajar, membuat perbincangan secara maya atau membuat sebarang capaian yang berkaitan dengan pembelajaran. Segala tugasan pelajar menjadi mudah ekoran perkembangan teknologi yang sememangnya menjadikan dunia umpama di hujung jari. Ini menyebabkan pelajar menjadi lebih pasif, malas dan kurang berusaha. Selain itu, komunikasi yang terhad menyebabkan wujud jurang yang besar antara seorang guru dan pelajar.
Sistem pendidikan tradisional pula lebih mementingkan interaksi antara guru dan pelajar. Di dalam bilik darjah, pelajar perlu lebih aktif untuk memahami dan menerima apa yang disampaikan oleh guru. Guru pula memainkan peranan dengan mencurahkan segala ilmu, maklumat dan menjawab segala persoalan yang diajukan oleh pelajar. Guru juga mesti bijak dalam mewujudkan komunikasi berkesan dengan pelajar. Hal ini amat penting kerana setiap pelajar mempunyai kerenah dan ragam yang pelbagai. Pelajar yang pasif dan pemalu perlu diberi perhatian dengan memperbanyakkan aktiviti dan interaksi di dalam bilik darjah.
Perubahan sistem pendidikan selalunya dikaitkan dengan perkembangan pembangunan sesebuah negara. Walau bagaimanapun, aktiviti pembangunan di Malaysia adalah tidak sekata. Pembangunan di luar bandar masih pada tahap minimum dan tahap pendidikan masyarakat di luar bandar juga masih jauh ketinggalan. Kebanyakan penduduk luar bandar mempunyai tahap pendidikan yang rendah dan kurang terdedah pada perkembangan teknologi dunia. Pendapatan semasa mereka juga lebih rendah menyebabkan mereka tidak berkemampuan untuk memiliki sebuah komputer di rumah. Kawasan luar bandar yang terpencil dan jauh di pedalaman juga menyebabkan sekolah gagal dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur yang sepatutnya. Selain itu, tidak ramai guru-guru pakar yang sanggup berkorban untuk menabur bakti di kawasan pedalaman. Segala permasalahan ini menyebabkan sistem e-pembelajaran tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya di kawasan luar bandar.
Berbanding pelajar yang hidup di bandar, kebanyakan ibu bapa mempunyai pendapatan yang tinggi dan mampu memberikan kemudahan untuk pembelajaran anak-anak. Mereka juga lebih terdedah pada perkembangan teknologi semasa. Taraf hidup yang tinggi menjadikan pelajar di bandar lebih aktif dan mempunyai tahap pendidikan yang jauh lebih baik. Kemudahan infrastruktur di sekolah pula jauh lebih lengkap dan para pendidik terdiri daripada guru-guru mahir. Jurang pembangunan yang wujud antara luar bandar dan bandar ini telah menyebabkan kecacatan pada pelaksanaan sistem e-pembelajaran yang hanya bermatlamat untuk memudahkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Ternyata masih banyak kekurangan dalam pelaksanaan dan keberkesanan sistem e-pembelajaran di negara kita. Banyak usaha yang perlu digandakan bagi memperbaiki segala kelemahan ini. Walau bagaimanapun, pelajar sendiri perlu memainkan peranan dalam menentukan masa depan mereka. Sejauh mana keberkesanan e-pembelajaran sebenarnya banyak bergantung pada seseorang pelajar itu sendiri.