"Tiada kesusahan yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah..Allah akan memimpin hatinya untuk menerima apa yang berlaku dengan tenang dan sabar..Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui akan sesuatu.."

Wednesday, March 2, 2011

GGGE2123 TEKNOLOGI & INOVASI DALAM PENDIDIKAN SEM 2 2010/2011


SEJAUH MANA KEBERKESANAN SISTEM PEMBELAJARAN ATAS TALIAN (E-LEARNING) DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

            Isu sistem pembelajaran atas talian atau e-pembelajaran sudah lama diperkatakan sejak pada awal pelaksanaannya sehingga sekarang. E-pembelajaran mula diperkenalkan seiring dengan perkembangan ICT di negara kita. Ia merupakan satu inisiatif untuk memantapkan lagi sistem pendidikan negara dalam menghadapi cabaran alaf ke-21. Menurut Jaya Kumar, e-pembelajaran adalah sebarang pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan rangkaian elektronik (LAN, WAN atau internet) untuk penyampaian isi kandungan, interaksi atau pemudahcaraan. Penggunaan e-pembelajaran dalam sistem pendidikan bukan untuk mengambil alih tugas guru tetapi bertujuan untuk memudahkan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi.

            Namun, sejauh mana keberkesanan sistem pembelajaran ini dalam memperbaiki sistem pendidikan di negara kita?

            Sebagaimana yang kita sedia maklum, e-pembelajaran merupakan sistem pendidikan moden yang sememangnya amat berbeza berbanding sistem pendidikan tradisional. Menerusi pembelajaran atas talian, pelajar hanya perlu menghadap komputer untuk mendapatkan nota, belajar, membuat perbincangan secara maya atau membuat sebarang capaian yang berkaitan dengan pembelajaran. Segala tugasan pelajar menjadi mudah ekoran perkembangan teknologi yang sememangnya menjadikan dunia umpama di hujung jari. Ini menyebabkan pelajar menjadi lebih pasif, malas dan kurang berusaha. Selain itu, komunikasi yang terhad menyebabkan wujud jurang yang besar antara seorang guru dan pelajar.

             Sistem pendidikan tradisional pula lebih mementingkan interaksi antara guru dan pelajar. Di dalam bilik darjah, pelajar perlu lebih aktif untuk memahami dan menerima apa yang disampaikan oleh guru. Guru pula memainkan peranan dengan mencurahkan segala ilmu, maklumat dan menjawab segala persoalan yang diajukan oleh pelajar. Guru juga mesti bijak dalam mewujudkan komunikasi berkesan dengan pelajar. Hal ini amat penting kerana setiap pelajar mempunyai kerenah dan ragam yang pelbagai. Pelajar yang pasif dan pemalu perlu diberi perhatian dengan memperbanyakkan aktiviti dan interaksi di dalam bilik darjah. 

            Perubahan sistem pendidikan selalunya dikaitkan dengan perkembangan pembangunan sesebuah negara. Walau bagaimanapun, aktiviti pembangunan di Malaysia adalah tidak sekata. Pembangunan di luar bandar masih pada tahap minimum dan tahap pendidikan masyarakat di luar bandar juga masih jauh ketinggalan. Kebanyakan penduduk luar bandar mempunyai tahap pendidikan yang rendah dan kurang terdedah pada perkembangan teknologi dunia. Pendapatan semasa mereka juga lebih rendah menyebabkan mereka tidak berkemampuan untuk memiliki sebuah komputer di rumah. Kawasan luar bandar yang terpencil dan jauh di pedalaman juga menyebabkan sekolah gagal dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur yang sepatutnya. Selain itu, tidak ramai guru-guru pakar yang sanggup berkorban untuk menabur bakti di kawasan pedalaman. Segala permasalahan ini menyebabkan sistem e-pembelajaran tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya di kawasan luar bandar.

            Berbanding pelajar yang hidup di bandar, kebanyakan ibu bapa mempunyai pendapatan yang tinggi dan mampu memberikan kemudahan untuk pembelajaran anak-anak. Mereka juga lebih terdedah pada perkembangan teknologi semasa. Taraf hidup yang tinggi menjadikan pelajar di bandar lebih aktif dan mempunyai tahap pendidikan yang jauh lebih baik. Kemudahan infrastruktur di sekolah pula jauh lebih lengkap dan para pendidik terdiri daripada guru-guru mahir. Jurang pembangunan yang wujud antara luar bandar dan bandar ini telah menyebabkan kecacatan pada pelaksanaan sistem e-pembelajaran yang hanya bermatlamat untuk memudahkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

            Ternyata masih banyak kekurangan dalam pelaksanaan dan keberkesanan sistem e-pembelajaran di negara kita. Banyak usaha yang perlu digandakan bagi memperbaiki segala kelemahan ini. Walau bagaimanapun, pelajar sendiri perlu memainkan peranan dalam menentukan masa depan mereka. Sejauh mana keberkesanan e-pembelajaran sebenarnya banyak bergantung pada seseorang pelajar itu sendiri.


Link berkaitan tugasan GGGE2123 Teknologi & Inovasi Dalam Pendidikan;
10 Gambar Teknologi & Inovasi
      

12 comments:

  1. E-learning atau e-pembelajaran merupakan satu dimensi baru yang memberi kelebihan kepada pengguna pada masa kini. Antara saranan yang boleh digunakan bagi meningkatkan keberkesanan sistem e-learning adalah:

    1) Pembaikpulihanan dalam e-learning ini perlu dijalankan seperti menambah penggunaan teori games (permainan). Seperti kita sedia maklum, permainan komputer begitu mengasyikkan dimana para pemain akan leka dengan watak yang dimainnya di komputer, bahkan mampu duduk berjam-jam lamanya untuk bermain permainan komputer yang digemarinya. Fenomena ini sangat menarik untuk merekabentuk e-learning. Dengan membuat sistem e-learning yang mampu melekakan pelajar untuk mengikuti setiap langkah-langkah pembelajaran di dalamnya sama seperti bermain 'games', minat serta pemahaman pelajar terhadap subjek tersebut akan bertambah.

    2) E-learning merupakan proses pembelajaran menggunakan internet tetapi tidak semua maklumat yang dipaparkan adalah tepat. Ini dapat menjejaskan matlamat P&P melalui internet. Pendidik (guru/pensyarah) perlulah menilai maklumat yang diperolehi daripada pelbagai media dan pelbagai sumber serta membezakan ketepatannya supaya dapat membimbing pelajar mendapat maklumat yang tepat dan betul.

    3) E-learning yang diterapkan dengan unsur multimedia mampu menarik minat pelajar supaya mereka tidak berasa bosan dan dapat memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap proses P&P.Sistem multimedia ini dapat menerima tindak balas berbentuk teks yang ditaip ataupun suara yang dimasukkan melalui mikrofon oleh para pelajar. Kaedah ini dapat menyediakan suasana saling tindak antara pelajar dan komputer.

    4) Proses e-learning perlu menggunakan pelbagai media supaya kebolehan capaian terhadap sesuatu isi kandungan dapat dipelbagaikan. Sumber rujukan elektronik seperti ensiklopedia, tutorial interaktif, buku elektronik dan sebagainya yang merupakan sumber elektronik dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat membantu seseorang pelajar meningkatkan kebolehcapaian dalam internet. Ini adalah kerana multimedia berupaya menyediakan persekitaran pembelajaran yang berbentuk pelbagai pancaindera dan ia sesuai untuk manusia yang mempunyai pelbagai gaya pembelajaran dan tahap pengamatan.

    5) Isu 'Screen design' perlu ditimbangkan kerana ia membantu meningkatkan tahap pembelajaran pelajar. Daripada kajian, pelajar membaca 20% hingga 30% lebih perlahan di atas skrin daripada di atas kertas. Teks yang diberikan sebagai 'left justified' dengan 'ragged right edge' membolehkan bacaan yang lebih mudah. Ayat mestilah ringkas dan padat (lapan hingga sepuluh perkataan) serta warna yang sesuai diperlukan untuk membantu di dalam mengingat dan menghafal informasi

    NORSYAZANA BINTI ZULKIFLI
    A125102
    TAHUN 3 (SEM 2 2010/2011)
    FAKULTI SAINS & TEKNOLOGI
    SELASA, 8-10 PM, MAKMAL 3

    ReplyDelete
  2. Seorang guru perlu menguasai konsep pengajaran bahasa berbantukan komputer agar pemahaman yang mantap terhadap konsep tersebut dapat memberi kesan kepada mutu pengajaran guru. Ini disebabkan terdapat pelbagai pemahaman terhadap konsep yang diberikan oleh guru bahasa melayu. Tiga komponen utama yang perlu ada di dalam pengajaran bahasa berbantukan komputer iaitukcomputer bahasa dan pembelajaran. Guru pada peringkat awal perlu memahami konsep dan prosedur pelaksanaan pengajaran menggunakan komputer agar memberikan kesan yang optimum kepada pelajar.
    Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa ada diperlukan oleh guru BM. Namun, penggunaan yang tidak menyeluruh dari segi keperluan perlu diberikan perhatian. Contohnya, penggunaan komputer dalam kemahiran menulis sepatutnya diberikan perhatian kerana penggunaan komputer mampu membantu pelajar dalam menyususn organisasi teks serta dapat memudahkan penyuntingan dilakukan. Bagi memastikan keberkesanan pengajaran, bahan bantu yang digunakan perlulah dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan.
    Kursus komputer perlu dihadiri oleh guru BM. Untuk menjamin keberkesanan penggunaan dalam pengajaran, kursus yang dihadiri perlu dikaitkan dengan pembinaan bahan pengajaran. Perisian yang sesuai boleh digunakan untuk tujuan tersebut.
    Cabaran yang dihadapi oleh guru BM dalam melaksanakan pengajaran berbantukan komputer meliputi aspek kursus peningkatan, pelajar yang pelbagai kecerdasan, teknologi komputer yang sering berubah, masa yang diperlukan untuk membuat persediaan pengajaran, dan sebagainya boleh memberikan kesan terhadap pengajaran. Dalam hal ini, perancangan dan persediaan pihak pentadbir sekolah dalam menyediakan guru-guru benar-benar menguasai kemahiran tersebut perlu dilakukan secara professional.
    Masalah pengguaan computer perlu dihadapi dengan memberikan penekanan kepada penggunaan ICT dalam pengajaran sebagaimana yang ditekankan oleh Kementerian Pelejaran. Sukatan pelajaran BM perlu dirujuk untuk melihat keperluan menggunakan komputer dalam pengajaran. Selain itu, penekanan pengajaran secara integrasi dalam mata pelajaran yan lain juga mampu untuk membantu pelajar mahir dalam sesuatu tajuk.
    Kesimpulannya, BM sedang mengalami zaman penuh cabaran terutama dari segi pandangan umum terhadap kepentingan dalam pengajaran. Walaupun demikian, aspek pengajaran perlu diberikan perhatian dengan menekankan penguasaan kemahiran bahasa yang diajarkan. Penggunaan komputer dalam pengajaran BM berupaya meningkatkan lagi keupayaan pelajar dalam menguasai BM dengan lebih baik. Oleh itu, latihan dalam perkhidmatan, penyediaan bahan pembelajaran interaktif, menggalakkan penggunaan internet dalam pengajaran semasa perlu diberikan perhatian.
    SITI NURULHUDA BINTI SHEH ANUAR
    A127887
    TAHUN 2/FSSK

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. E-learning sebagai model pembelajaran baru dalam pendidikan memberikan peranan
    dan fungsi yang besar bagi dunia pendidikan yang selama ini dibebankan dengan
    banyaknya kekurangan dan kelemahan pendidikan konvensional (pendidikan pada
    umumnya) diantaranya adalah keterbatasan ruang dan waktu dalam proses pendidikan
    konvensional. Teknologi maklumat adalah jalan dan cara yang murah lagi mudah yang boleh
    diaplikasikan dalam sistem pendidikan kita.
    Ini lagi ditambah dengan sifat internet yang murah,
    sederhana dan terbuka mengakibatkan internet boleh digunakan oleh siapa saja (everyone),
    dimana saja (everywhere), setiap masa (everytime) dan bebas digunakan (available to
    every one).
    Tidak dapat dinafikan bahawa kepesatan teknologi maklumat pada masa sekarang telah merubah sistem pendidkan negara kita kepada atas talian. Murid-murid tidak perlu lagi berjumpa dengan guru.Tetapi mereka hanya perlu mengadap komputer dan mendapat bahan-bahan pengajaran daripada guru mereka daripada internet melalui e-learning.Namun keburukan yang akan timbul hendaklah dipertimbangkan sendiri oleh pelajar dan guru tersebut.

    NUR RADIA BINTI HARUN
    A128048
    FSSK/2
    PEMBANGUNAN MANUSIA

    ReplyDelete
  6. Salam,
    E-learning di negara kita lebih terarah kepada pembelajaran secara jarak jauh dan online yang kebanyakannya hanya ditawarkan diperingkat Universiti serta kolej-kolej swasta yang menjalankan usahasama Universiti-universiti luar negara. Antara pusat pengajian tinggi tempatan yang menawarkan pembelajaran secara maya ini ialah Universiti Putra Malaysia melalui Program IDEAL ( Institut Pendidikan & Pembelajaran Jarak Jauh). Menerusi usahasama dengan syarikat tempatan Mahirnet Sdn. Bhd.UPM julung-julung kalinya menawarkan program Bacelor Komunikasi secara maya.

    Walaupun yurannya kelihatan agak tinggi berbanding dengan program ijazah saluran biasa namun jika dibandingkan dengan corak pembelajarannya, ia dianggap berbaloi, dengan jadual kuliah yang fleksibel, nota dan tutorial yang boleh didapati dari Internet serta perkuliahan secara on-line. Dengan tidak disedari, ianya dapat menjimatkan kos dan masa terutamanya bagi mereka yang berkerja sepenuh masa serta tempat tinggal yang jauh daripada universiti. Dalam ertikata yang lain, melalui pembelajaran secara maya ini, tiada lagi jurang masa dan jarak yang menjadi halangan untuk belajar. Oleh itu. didapati bahawa E-learning ini memberikan kebaikan kepada pelajar.

    FATIN FARHANA BINTI ZAKARIA
    A127817
    FSSK/2
    PEMBANGUNAN MANUSIA

    ReplyDelete
  7. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  8. Buat Siti Khadijah,
    E-Learning memang semakin popular sejak kebelakangan ini. Saya setuju dengan pendapat saudari massstr.,

    'Keburukan E-learning bukanlah pada nama E-learning, tetapi pada mereka yang salah menggunakannya'

    Hal ini adalah kerana E-Learning ini telah pun mempunyai rangka dan dasar-dasar tersendiri untuk dilaksanakan. Dasar-dasar ini telah banyak dibincangkan dan mendapat pandangan dari golongan intelektual sebelum melaksanakannya. Namun, setelah dilaksanakan, terdapat golongan yang menyalahgunakan E-Learning ini terutama golongan pelajar yang tidak mengikuti program ini pada landasan yang betul. Maka, setiap pihak terutama pelajar perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk memastikan program ini berjaya. Sekian.

    Roziana Binti Ab Rasit
    A123927
    FST/3
    Tutorial:Selasa,8 p.m

    ReplyDelete
  9. E-learning itu elok sebab ia boleh diakses bila-bila masa sahaja, walaupun tengah malam. Namun, disebabkan tiada perjumpaan antara pensyarah-pelajar, ianya sebenarnya boleh mengurangkan kebolehan pelajar untuk berinteraksi secara bersemuka. Ramai yang boleh bertanya dengan hanya menghantar email, tetapi tidak ramai yang boleh bertanya secara berdepan dengan pensyarah.

    NUR AKMAL BINTI MOHAMED ROZALI
    A126692
    FST/2 PROGRAM GENETIK (PPBsBt)

    ReplyDelete
  10. salam.
    e-learning suatu pendekatan teknologi yang boleh diaplikasikan dalam sistem pendidikan negara. Ia memudahkan para pelajar menghantar tutorial dan sebgainya dengan cepat dan mudah tanpa perlu menggunakan kertas (penjimatan penggunaan kertas). namun bagi pendapat saya, terdapat beberapa kekurangan:
    1. kurangnya perjumpaan dengan para pensyarah. Tidak boleh menghasilkan hubungan baik pensyarah-pelajar
    2. Boleh terjadinya penipuan. (para pelajar mungkin hanya boleh "copy-paste")
    3. sekiranya talian inetenet tidak dapat diakses, masalah perhubungan tergendala.

    NUR MUNIRAH BT.SABKI
    A 125126
    FST/3 PROGRAM BIOLOGI
    2 2010/2011

    ReplyDelete
  11. Proses pembelajaran elektronik atau e-learning memerlukan capaian Internet memggunakan kabel optik berkelajuan tinggi. Malangnya di Malaysia capaian Internet berada di tahap yang agak mengecewakan kerana kebanyakkannya masih menggunakan Internet berkelajuan rendah. Pihak berwajib perlu meningkatkan taraf capaian Internet di Malaysia terlebih dahulu sebelum e-learning dapat dilaksanakan sepenuhnya dan proses pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Kawasan capaian Internet juga perlu diperluaskan lagi sehingga meliputi seluruh kawasan di Malaysia.

    MUHAMMAD ANUAR BIN MAULOD (A130797)
    PROGRAM KOMUNIKASI DAN PENGURUSAN MAKLUMAT
    FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN
    TAHUN 2 SEMESTER 2 SESI 2010/2011
    TUTORIAL: 8-10pm, SELASA, MAKMAL3 Fakulti Pendidikan

    ReplyDelete
  12. e-learning adalah satu gaya pembelajaran kini yang semakin mendapat perhatian dalam bidang pendidikan Malaysia. Rata-rata pelajar kini lebih gemarkan pendidikan yang berunusrka animasi, grafik kerana lebih mudah difahami dan diingati. Namun demikian, capaian internet juga perlu diperbaiki supaya e-learning akan jadi lebih mantap dan berkesan.

    FARIDAH HANIS BT HOOD
    A130471
    FSSK SEM 2 2010/2011
    TUTORIAL SELASA 8 MALAM

    ReplyDelete